Saturday, July 31, 2010

Yang sedang-sedang saja




Sahabat pembaca sekalian,ayuh saya tanyakan,kalau minum kopi gulanya terlebih atau gulanya terkurang yang lebih elok?Nah cuba. kalau buat kopi secawan,gulanya sesenduk. MashaAllah tabarakallah.
senyuman Siti Nurhaliza pun tak semanis itu! Kalau kena suami yang panas baran,dah lama cawan terburai di dinding dan muka pun makan tempeleng(bukan lempeng)Tapi selalunya kalau buat kopi ni gula memang kena dlebihkan sedikit,baru lemak katanya,kena dengan kopi yang pahit.Tapi tidaklah terlampau manis.
Kalau kena gulanya terkurang,contohnya kopi secawan,gulanya secubit[ala-ala macam garam pula main cubit-cubit saja] nah,pasti rasanya pahit ya amat. Berkelat muka suami yang kacak. menari-nari lidah meludah pahit. 
Jadi rahsianya macammana?Yang sedang-sedang aja..

Siapa yang paling bersederhana di dalam dunia?Tak perlu ditanya semuanya pun tahu menjawab. Nabi Muhammad S.A.W Qudwah hasanah yang mulia. 

Nabi Muhammad adalah contoh manusia yang paling bersederhana dalam dunia dan kesederhanaan Baginda itu tidak menurunkan darjatnya sedikitpun,malah menaikkannya,dan tidak menambah kebesaran yang tidak berpatutan baginya sebagai seorang rasul dan kesederhanaan Nabi cukup indah.

Pernah satu ketika saya merenung-renung solusi untuk masalah krisis alam sekitarnya yang tak pernah-pernah padam malah meruncing. bila mana saya merenung-renung permasalahan tersebut mencari solusi yang paling jitu dan efektif,saya hanya dapat menyimpulkan punca permasalahan adalah sistem kapitalis. Amerika merangkumi 5 % populasi dunia tetapi menggunakan 30% sumber dunia!mashaAllah. Kilang-kilang syarikat TNCs(Transnational Companies) atau juga dikenali sebagai MNCs dari negara-negara maju berpijak di negara-negara dunia ketiga dan juga serata pelusok dunia dan masing berebut-rebut mendominasi sumber alam untuk kepentingan duniawi.

Sistem kapitalis yang mendesak setiap manusia untuk melebihi yang lain,mengisi poket mereka lebih dari yang perlu dan ke tahap yang dahsyat,dan meng'haiwan'kan manusia hanya boleh dihilangkan dan dirawat dengan terapi gaya hidup Khatimul Anbiyaa,khairul anam,Nabi Muhammad s.a.w.

Nabi Muhammad mengajarkan gaya hidup yang sederhana melalui qudwah. Qudwah qabla Da'wah. SubhanAllah. Nabi menjahit bajunya yang koyak dan tidak langsung membeli yang baru,Nabi juga tidak pernah memakan makanan yang mewah di rumahnya. 
Diriwayatkan dari Aishah r.a,maksudnya;
"Keluarga rasulullah s.a.w tidak pernah memakan roti gandum sehingga kenyang selama dua hari berturut-turut sampai beliau wafat." Riwayat Tirmidzi,Bukhari,Muslim dan Ibnu Majah.
banyak lagi contoh bukti kesederhanaan nabi yang kalau saya coretkan semuanya tak habis-habis entry ini. 
Nah,kalau setiap orang cuma makan dan ambil keperluan apa perlunya dan terima apa adanya,sudah tentu tidak akan ada perebutan. Jika setiap orang bersederhana pasti tidak ada kapitalis.

Namun sikap bersederhana tidak pula menghalang manusia mencapai taraf lebih baik,jauh sekali menyekat konsep ikhtiar dan usaha. Di zaman Nabi juga ada orang kaya tetapi kayanya bagaimana?

Abdul Rahman Bin Auf adalah antara sahabat yang terkaya di zamannya. Dikatakan satu hari seisi Madinah gempar dengan kedatangan satu kafilah dagang yang terdiri daripada 700 kenderaan milik Abdul rahman bin Auf.
Namun kapitaliskah?

Nabi Muhammad mengajarkan kepentingan bersedekah dan mengamalkannya sendiri dengan contoh yang hebat sehingga Abdul Rahman Auf,sahabat yang terkaya ,hasil tarbiyyah Qur'ani dari baginda sendiri,sanggup memerdekakakan 30 hamba setiap hari,menderma kiri dan kanan,mewasiatkan 1000 ekor kuda malah mewasiatkan 400 dinar kepada setiap tentera Islam yang ikut serta dalam Perang Badar dan juga mewasiatkan 50 ooo dinar. Kaya,ya,kaya tetapi tidak gelojoh menambah kekayaan sebaliknya ghairah menderma fisabilllah. Inilah orang kaya yang sederhana.
 Orang kaya islam tidak terikat dengan hartanya. Lihat saja Mus'ab bin Umair yang dikatakan nabi sebagai sahabat yang memiliki pakaian yang paling bagus,seorang anak kaya yang dimanjakan ibunya. Sekian lama mengecap kekayaan,begitu senang sahaja beliau keluar dari balutan kekayaan itu dan hidup dengan serba kekurangan sekali demi Islam.

Sungguh terlalu banyak bukti kesederhanaan baginda untuk diambil contoh. dari segi pakaian,gaya percakapan,malah sikapnya bersama sahabat-sahabat.

Baik. Cermin saja diri kita. Adakah kita bersikap sederhana.? Nabi menegaskan kita adalah ummatan wasata. Ummah pertengahan. Ada orang yang extreme dan melampau dalam agamanya lalu menghukum kafir dan sesat kepada sesiapa sahaja yang menyalahi pandangannya,malah ada yang membunuh membuta-tuli meski dengan sesama muslim,ada juga yang mengetepikan jemaah kononnya atas dasar 'kesufian'.[syeikh Nuruddin sudah menyatakan semalam BUKAN ahli sufi,jika meninggalkan solat jemaah dan meninggalkan sunnah]

Ada orang berpakaian dengan harga yang mampu beli sebiji Perodua,ada pula terlalu selekeh dan kotor pakaiannya sehingga menimbulkan tak senang orang melihat. Bersederhanalah..

Ada orang beribadat sehingga tak tidur 24jam dan tak mencampuri isteri dan masyarakat,ada yang terlalu dikit beribadah malah ada yang tak ibadah pun. Bersederhanalah..

Ada orang yang lagaknya angkuh walau hanya berpangkat di dunia,jalannya tak boleh bersaingan,duduknya tak boleh berteman,dirinya tak boleh setara ,makannya tak boleh sepinggan. Ada orang meminta-minta walaupun berupaya sehingga menjatuhkan air muka. bersederhanalah..
Kalau anda mengaku ummat nabi,ayuh,bersederhanalah.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails