Thursday, August 5, 2010

Syahid yang aku impikan






Mata saya melilau-lilau mencari kelibat orang yang diraikan. Sanggup pulang lambat dari kuliah semata-mata nak ikut sama menghantar wira Allah . Ustaz Nazmi,Encik MBo dan Miss Teo saya lihat keluar akhirnya,masing-masing mengenakan Tshirt Viva Palestin berwarna hitam. Alahai pahlawan kami ke Gaza. Inilah Wakil kami bertemu saudara-saudara di sana. Ustaz Nazmi saya kira ketika itu memakai jaket milik isterinya ,berdasarkan nama yang tertera di jaket tersebut. Pengubat rindu agaknya. 

Suara Takbir bertalu-talu kedengaran. Teringat perhimpunan Himmah II di Kepala Batas baru-baru ini. Hati saya makin cemburu, Jujur saya katakan,saya cemburu.

Mac lalu,sebaik pulang dari Himmah iaitu sebuah perhimpunan Palestin baru-baru ini,dan setelah dimaklumkan akan adanya flotila kedua awal Ramadhan ini,saya terus membuka laman Haluan Palestin. Niat nya apa?Kononnya ingin ikut serta. Angan menggunung.Hendak juga saya lihat kriteria apakah diperlukan untuk ke sana. Berdebar-debar teruja membuka laman web tersebut. 

Penyertaan terbuka kepada sesiapa sahaja. Wah,berbunga hati. Masih ada hati walau tak sedar diri yang kerdil. Namun,muka saya pantas berubah bila dikatakan belanja semuanya atas biaya sendiri,malah kosnya lebih rm5000. Belum lagi dengan makannnya dan tambang ke sana pula. Untuk makan sebulan pun saya masih mengharpkan elaun kerajaan,apatah lagi untuk ke sana. 

saya cuba membayangkan kalau saya ini diberi peluang untuk pergi. Hati pasti menanti-nanti tetapi saya yakin akan tantangan dan tiadanya restu emak. Ibu tua itu bukan seperti Al Khansa yang tabah merelakan syahid anak-anaknya malah menyeru dan mengasak lagi empat puteranya ke medan perang. Ibu ku itu adalah seorang perempuan tua biasa di perut kampung pinggir bandar yang sama sekali tak akan mengizinkan aku pergi. Kalau dijawab "saya mahukan syahid" seperti yang pernah ku jawab pada maksu dulu ,lagilah berkeras hatinya menghalang.

Indahnya syahid. Indahhnya perjuangan ini. Ini adalah medan perang alaf moden. Ini adalah lowongan syahid abad baru. Zaman ini,kita tak akan berpeluang menyahut semboyan dan mengangkat pedang ke muka-muka musuh. zaman ini pisau silat saya yang saya namakan Al Azwar  itu pun tak laku lagi di sini. Rotan tempur saya yang saya beri nama Al haq juga tak mampu nak berbakti mengetuk tulang belakang musuh. Lalu apa saja cara kita untuk syahid?

"Apabila datangnya mati kepada penuntut ilmu(tholibil 'ilmi) dan ia berada dalam keadaan tersebut(menuntut ilmu).Mati ia(dengan mendapat)syahid. Riwayat Abu Bazzar dan At tabrani.

serta merta saya teringat akan hadis tersebut dan huraiannya oleh Syeikh Nuruddin Al Banjari Al makki lewat kedatangannya tempoh hari.

Kemudian sebuah lagi ayat Quran terlintas di kepala saya,yang dahulu kerap saya dengarkan di ceramah-ceramah.

"Tidak patut semua orang mukmin itu pergi ke medan perang. Mengapa tidak satu rombongan dari tiap golongan pergi untuk mempelajari dengan mendalam ilmu agama agar mereka dapat memberikan peringatan(pelajaran) kepada kaumnya apabila mereka sudah kembali."
Surah At Taubah:122
        
Sebelum ini saya terpikir,apakah memang tidak ada lowongan dan peluang untuk berjihad?Maksud saya the 'real jihad'. Maksud saya,jihad Abdullah bin Rawahah,Hamzah Ibnu Abi Thalib dan jihad Khaulah Al Azwar selain jihad melawan nafsu. Alaf moden,jihad dan 'MEDAN PERANG yang tersedia untuk kita ialah dunia ilmu. DUNIA ILMU. 

Dunia sekarang ialah era yang memakai konsep 'the survival of the fittest', the survival of the strongest,dan the strongest of all people hakikatnya adalah orang yang bijak dan berilmu. dan masyarakat yang kuat ialah masyarakat bersatu. Peperangan kini guna akal. Ghazwul fikri. Zionis dan Barat kini tak jajah tanah secara fisikal,tetapi jajah mental. jajah otak dan budaya. jajah mentaliti agama.

Jadi bagaimana untuk menyertai peperangan ini? saya suka mengetengahkan konsep satu masyarakat syumul,sebagaimana syumulnya Islam itu.satu ummah. bukan 1Malaysia. Mengikut konsep 'segolongan' yang kerap diterapkan dalam Al Quran(Qs Ali Imran:104,At Taubah122 ,dll)mestilah ada segolongan umat islam menceburi setiap bidang. Tidak akan sesuai strategi jika semua mukmin mahu menjadi ustaz,atau guru agama ataupun penceramah bebas sekalipun. 

Pokoknya,di bidang apapun kita,ayuh berjihad dengan akal. Curahkan ilmu di mana sahaja ibarat menabur benih ke merata-rata tanah.InsyaAllah akan tumbuh jundullah-jundullah baru sebagai pelapis.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails